Anonymous
Aduhai blog,

Ilham akan muncul berbeza mengikut situasi seseorang manusia. Ada yang muncul ketika tidur, ketika masak, ada yang ketika membuang air (tidak bersesuaian). Variasi.

Bagi saya, ilham akan muncul ketika berasa keseorangan, sedih, kecewa dan seangkatan dengannya. Pada masa itulah, segala-galanya akan muncul. Pada ketika itu jugalah tangan saya akan rancak menulis. Menulis apa sahaja. Dan kebanyakannya adalah sajak.

Namun disebabkan sajak itu ditulis ketika melayan perasaan, kebanyakannya berunsurkan melankolik. Contohnya seperti di bawah ini. (malu nk publish tp pk2 nak simpan sajak ni untuk sape?)

Pengakuan Hati yang Lara

Sampai bila kekal begini,
Membarahi kekuatan diri,
Tanpa upaya dihindari,
Kendati dinanti saban hari,
Ia tetap meracun diri

Sampai bila mendung berarak mega,
Menunggu titisan kilauan kristal,
Kerna fikiran seumpama hati,
Terus kuncup sukar ditafsiri,
Tersimpan nektar harum mewangi.

Sampai bila suria kan sembunyi,
Bulan malu mencecah langit,
Ibarat batu yang tegar lahiriahnya,
Enggan rekah walhal diretakkan,
Walau kebenaran murung di dalamnya.

Sampai bila menanggung derita,
Mengharapkan hijab untuk terbuka,
Walau batin terus meronta,
Meminta rahsia terus dimangga,
Malu dibuka sebarang kunci.

Sampai bila dikendong badan,
Isi tetap hitam diselubung,
Hanya illahi menjadi pangkuan,
Tatkala zalimnya suatu penyeksaan,
Hingga tiba pengakhirannya.

Sampai bila masanya mekar,
Dua zarah bersemuka,
Menjernihkan yang keruh,
Menyucikan yang noda,
Menghapuskan amarah di jiwa.


Sajak ni ditulis masa tengah-tengah keseorangan bersedih masa kat KYUEM dulu. Enjoy. Nak kritik nak hentam pun takpe...
Anonymous
Aduhai blog,

Kehidupan ibarat persoalan yang perlu diselesaikan oleh setiap insan yang bernafas di muka bumi ini. (over!) Sebagai manusia yang sedar tentang perkara ini, saya memang tak terlepas daripada mempersoalkan semula soalan tersebut.

Saya pasti setiap orang pasti akan merasa kekurangan pada diri sendiri. Seperti saya, saya selalu bertanya pada diri, kenapalah pendek? Kenapalah tak hensem dan sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan, kita akan sentiasa mahukan kesempurnaan pada diri.

Tujuan saya menulis ini adalah bukan sahaja untuk saya meluahkan perasaan namun, saya mahu setiap orang yang berfikiran seperti saya menerima segala apa yang ada apda diri sendiri. Anggap sahaja kekurangan itu sebagai kelebihan. Kalau hidung kembang anggap sahaja itu satu keunikan. Kalau mata sepet anggap sahaja sebagai suatu keseksian. Kalau ada yang sentiasa memandang serong terhadap kita di tempat awam, anggap sahaja mereka cemburu dengan apa yang kita miliki.

Namun, harus diingat, jangan pula terlebih perasan. Seperti saya, kadang kala tidak dapat dinafikan akan mula memuji diri sendiri atau perasan lebih kerana ia hanya akan memakan diri. Jika kita berterusan menjebakkan diri dalam sindrom tersebut, kita sendiri yang akan kecewa kemudiannya. (ada pengalaman).

Tuhan mencipta manusia dengan kepelbagaian. Ada yang hensem, ada yang cantik. Namun tidak semuanya memiliki kelebihan yang sama. Jadi tanya kepada diri kita sendiri. Mungkin ada kelebihan yang ada pada diri kita cuma kita yang tidak menemuinya.

Sekian